Proses ke arah pilihan raya Pilihan_raya_umum_Myanmar_2010

Majlis Keamanan dan Pembangunan Negara (SPDC) Myanmar yang dianggotai pemimpin junta yang diketuai Jeneral Than Shwe telah mempromosikan pilihan raya ini sebagai langkah kelima 'Peta Laluan Demokrasi' yang mempunyai tujuh tahap. Bekas Perdana Menteri, Jeneral Khin Nyunt, pada 30 Ogos 2003, menggariskan tujuh langkah berhubung: mengadakan semula Konvensyen Kebangsaan yang pernah ditunda sebelumnya; melaksanakan secara bertahap proses mewujudkan demokrasi tulen dan berdisiplin; melakar perlembagaan baru; melaksanakan perlembagaan itu melalui satu referendum; mengadakan pilihan raya bebas dan adil bagi melantik dewan perundangan negara; membentuk dewan perundangan; dan membina sebuah negara moden, maju dan demokratik.

Beberapa syarat perihal penyertaan parti politik dalam pilihan raya serta langkah memperuntuk seperempat atau 25 peratus daripada jumlah kerusi dalam semua dewan perundangannya - Dewan Negara (224 kerusi) dan Dewan Rakyat (440 kerusi) - kepada pegawai tentera yang bakal dilantik panglima besar tentera Myanmar, mengukuhkan dakwaan itu. Rejim tentera didakwa mahu memastikan mereka dan kroni-kroninya kekal menguasai kepimpinan politik, kehakiman, perundangan dan ekonominya dalam tempoh lebih panjang. Di bawah perlembagaan baru, hanya 168 daripada 224 kerusi Dewan Negara dan 330 daripada 440 kerusi Dewan Rakyat boleh direbut calon politik awam.